Tips Parenting

Rupanya Susah Menjadi Ibu Bapa, Ayuh Muhasabah Bersama


Hari ini terfikir pasal betapa bertuahnya anak-anak sekiranya memiliki ibu bapa yang komited untuk memberi tiada yang lain kecuali usaha yang terbaik kepada anak mereka. Ibubapa yang tidak goyah dengan harapan masyarakat yang suka melabel dan memberi tekanan kepada anak dengan tekanan palsu seperti cepat baca, banyak main tak pandai, suka membanding-bandingkankan anak dengan anak jiran dan sepupunya.

Bukankah Allah telah menjadikan kita unik? Setiap anak adalah istimewa. Kita adalah kita. Tiada dua yang sepertinya.
Kita kena yakin dengan rezeki dan kelebihan yang Allah telah bekalkan kepada kita, kepada anak kita. Keyakinan yang kurang membuat kita sebagai ibu bapa menggelabah sekiranya anak kita tak sepandai anak orang itu.

Bukankah kerja kita membuat yang terbaik untuk anak kita dan garis permulaannya bermula dengan anak kita? Bukan di garis permulaan anak orang lain. Bukankah kita sepatutnya menerima amanah dan memeliharanya dengan baik. Yang bermaksud membimbingnya ke arah langkah dan tahap yang seterusnya dengan gigih tanpa rasa jemu.

Dalam suasana kehidupan yang penuh mencabar sekarang ini, nasib anak-anak semakin terhimpit. Masa terhad dengan ibu bapa diganti pula dengan pencerobohan dunia tanpa sempadan, kasih sayang gajet versus kasih sayang ibu bapa. Kata-kata manja dan semangat yang lahir dari sanubari ayah serta bonda seolah-olah boleh dijual beli.

Bertuahlah anak sekiranya ayah dan ibu lebih cendorong untuk membimbing daripada cepat menghukum. Bertuahlah mereka mengoreksi diri sebelum mengoreksi anak dan orang-orang disekelilingnya.

Bertuah jugalah anak sekiranya mempunyai orang tuanya yang penyabar pasrah dan penuh yakin dan tawakkal kepada Allah setelah berusaha gigih, percaya dan sentiasa mendoakan anaknya akan membesar menjadi anak yg soleh, mampu berdikari dan membawa kebaikkan kepada masyarakat sekelilingnya.

Sesungguhnya anak yang lahir hari ini akan membesar dan berjuang dalam zaman yang sangat berbeza dari zaman mereka dilahirkan..meminjam kata2 dari Syaidina Umar Alkhottab.

Ibu bapa prihatin dan bertanggungjawab akan mempersiap siagakan diri untuk mengemudi bahtera mendidik anak-anak dengan membuat perubahan kepada dirinya dari sifat yang keras kepada sifat yang penyayang dan lembut mirip Arrasul SAW yang kita kasihi.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu.”

(Ali Imran: 159)

Semoga Allah permudahkan usaha kita bersama..

Biarlah anak menyimpan MEMORI indah yang kita tuturkan pada mereka. Jangan biarkan anak menderita dengan TINDAKAN kita yang negatif.

Oleh : Puan Noor Hayati Abdul Hamid Pengasas Tadika Naluri & Principal Consultant NLI Education.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge